Tuesday, August 16, 2016

Pakej Lawatan Sehari Di Johor : Warisan Sejarah Kota Tinggi

Pakej Lawatan Sehari Di Johor : Warisan Sejarah Kota Tinggi

Bila sebut saja mengenai Kota Tinggi, tentu kita akan terbayang satu tempat yang tinggi. Mungkin kita gambarkan satu kawasan pergunungan agaknya. Sebenarnya, nama Kota Tinggi itu diberikan oleh Sultan Abd Jalil III. Baginda telah berehat di kawasan tersebut dan mendapati kawasan tersebut adalah lebih tinggi daripada kawasan lain. Lalu Baginda mendirikan pusat pentadbiran dan pemerintahan dan menamakan tempat tersebut dengan nama Kota Tinggi. Dan nama tersebut kekal sehingga hari ini. 

 

 Sebenarnya banyak kisah sejarah negeri Johor yang berkisar di Kota Tinggi. Antara yang popular adalah mengenai Laksamana Bentan yang dibunuh Sultan Mahmud. Kan popular cerita tu kan. Selalunya orang akan bercerita mengenai Sultan Mahmud mangkat dijulang. berikut adalah sedikit mengenai kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang


 Mengikut kitab hikayat Tuhfat al-Nafis, cerita ini berlaku apabila Laksamana Bentan (dikenali Bintan pada hari ini), iaitu Megat Seri Rama, telah berperang untuk menumpaskan lanun di perairan Johor atas perintah Sultan Mahmud Shah II.



Pada suatu hari, isteri Megat Seri Rama yang sedang mengandung, Dang Anum telah bertemu dengan penghulu kebun Sultan yang sedang membawa nangka untuk dipersembahkan kepada Sultan. Dang Anum kemudian telah meminta seulas nangka kerana dia mengidam. Penghulu kemudiannya memotong seulas lalu diberikan kepada Dang Anum. Ketika Sultan Mahmud Shah hendak bersantap tengah hari, baginda menyedari bahawa nangka yang hendak disantapnya telah diusik orang. Sultan Mahmud amat murka kerana dihidangkan dengan sisa orang dan memerintahkan Dang Anum ditangkap dan dibelah perutnya menyebabkan kematian isteri Laksamana.

Beberapa hari kemudian, Laksamana telah kembali ke Kota Tinggi dengan membawa kejayaan cemerlang bagi angkatan tentera Johor. Selepas sultan memberi anugerah kepada Laksamana, Megat pun balik ke rumahnya dan mendapat khabar buruk daripada Tun Aman yang mengatakan bahawa isterinya telah mati. Laksamana merasa marah, kecewa dan menangis apabila mengetahui isterinya telah mati. Megat Seri Rama kemudiannya berazam untuk membalas dendam kepada sultan kerana bagindalah yang memerintahkan supaya isteri kesayangannya dibunuh.

Pada suatu hari Jumaat, Sultan Mahmud Shah bersama pembesar telah berangkat ke masjid untuk bersembahyang. Sultan telah ditandu oleh pengawal-pengawal istana. Ketika azan pertama berkumandang di udara, Sultan Mahmud terkejut melihat Laksamana berdiri sambil menghalang lalu lintas baginda. Laksamana berkata "Raja adil raja disembah! Raja zalim raja disanggah!". Sepantas kilat, laksamana terus menikam Sultan dengan kasarnya. Suasana di perkarangan masjid gempar apabila darah sultan yang berdaulat telah mengalir ke tanah! Semua jemaah terpaku. Sultan tidak berputus asa lalu menyentap sebilah keris yang tersisip di pinggangnya lalu dilontarkan di kaki laksamana. Sultan terus bertitah "Tujuh keturunan laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi...." Beberapa minit kemudian, baginda menghembuskan nafas yang terakhir. Megat yang tiba-tiba memuntahkan darah pula mati secara tiba-tiba.


Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh saja beli dan baca buku Tuhfat al-Nafis. 



Makam Laksamana Bentan dan Sultan Mahmud terletak tidak jauh dari bandar Kota Tinggi. Apa yang menariknya, anda boleh memilih untuk mengunjungi tempat tempat bersejarah di Kota Tinggi sama ada dengan berbasikal, menaiki bot atau menaiki kenderaaan darat yang pihak kami sediakan. Pengalaman yang pastinya menyeronokkan. Bawalah anak anak menyusuri sejarah Bangsa Johor yang bermula di Kota Tinggi. 



Untuk keterangan lanjut, kami alu alukan anda untuk menghubungi kami melalui email, sms, whatsapp atau direct call. Kami berbesar hati menyambut panggilan anda.

No comments:

Post a Comment